Akhirnya Fizi Menyesal dan Akan Tampil Untuk Meminta Maaf Secara Terbuka

Fizi Menyesal & Akan Tampil Untuk Permohonan Maaf Secara Terbuka

Penerbit Upin & Ipin akan membuat permohonan maaf atas kontroversi watak Fizi dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia, hingga mencetuskan perbalahan di laman sosial.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya sedang dalam proses menyiapkan video permohonan maaf itu.

Bagaimanapun, Burhanuddin berkata, soal bila dan medium pilihan untuk pernyataan maaf itu disiarkan tertakluk kepada stesen penyiaran di Indonesia, iaitu saluran MNCTV.

“Disebabkan watak Fizi yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan penonton dan peminat siri animasi ini, dia sendiri yang akan kita tampilkan membuat permohonan maaf.

“Semua urusan berhubung penyiaran permohonan maaf itu kita kena berurusan dengan stesen televisyen (TV) terbabit.

“Diharapkan apabila permohonan maaf itu disiarkan, mereka (netizen) akan kembali ‘sejuk’… Insya-Allah,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, dialog dilafazkan Fizi dalam episod berkenaan yang menyentuh persoalan di mana syurga untuk anak yatim, mencetuskan perbalahan peminat di Indonesia dan Malaysia.

Sepantas kilat, komen ‘Fizi is cancelled’ menjadi tular di laman sosial terutama Twitter.

Burhanuddin berkata, reaksi terhadap dialog Fizi itu membuktikan siri animasi Upin & Ipin dekat di hati peminat termasuk di Indonesia.

“Sekalipun karakter animasi ciptaan manusia, apa yang dipersembahkan seolah-olah mereka wujud di alam realiti.

“Emosi sungguh penonton di Indonesia apabila Fizi melafazkan dialog berkenaan. Jelas mereka sebenarnya sangat sayang dengan watak Upin dan Ipin.

“Ada sebab dialog dilontarkan Fizi termasuk babak itu diwujudkan. Ini kerana persoalan di mana syurga bagi anak yatim, terus berlegar dalam fikiran kita,” katanya.

Siri Upin & Ipin dilaporkan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia.

Pages ( 2 of 2 ): « Prev1 2

Berikan Ulasan Di sini